Monday, December 10, 2012

AGENDA KRISTIAN UNTUK MALAYSIA TERBONGKAR DI JERUSALEM


Ustaz Muhammad Abdullah Al Amin

Kembara Universiti Kehidupan Ke 10 ke al-Aqsa bermula dari 26 November hingga 3 Disember 2012.

Seperti biasa, hari pertama kami sampai ke Jerusalem, kami akan masuk ke dalam hotel, berehat sebentar dan kami akan terus ke masjid al-Aqsa untuk mendirikan solat Maghrib dan Isyak di al-Aqsa. Pulang waktu Isyak, kami akan makan malam di kafe hotel.

Mahmood, pemandu pelancong yang biasa dengan saya mencuit bahu saya dan mengajak saya ke satu sudut;

“Muhammad, mari sini” katanya.

“Kenapa?” tanya saya agak kehairanan kenana wajahnya agak serius, nada suaranya, agak perlahan seolah-olah ada rahsia yang ingin dibisikan pada saya.

“Tinggal bersama kamu di hotel ini satu rombongan dari Malaysia” terang Mahmood.

“Oh ye ke!” saya agak gembira mendengar berita itu.

“Tapi mereka rombongan Kristian” kata Mahmood lagi.

“Ye ke, ah, di sinikan banyak tempat penting buat Kristian, tentu mereka nak ziarah” kata saya.

“Sepanjang perjalanan dari border Jordan-Israel, mereka memang mengutuk Islam dan sangat tidak puas hati dengan orang Islam di Malaysia, mereka memang anti Islam” Mahmood Menambah.

“Mereka tak tahu aku Islam, mereka ingat aku Kristian” Mahmood semakin rancak berbual dengan saya di satu sudut di bahagian tangga.

“Memang bukan Islam di mana-mana pun tak suka Islam” kata saya tenang.

“Tak, mereka ini  lain, mereka memang anti Islam di Malaysia” terang Mahmood bersungguh-sungguh.

Perbualan malam pertama itu habis dengan rasa tidak puas hati Mahmood terhadap rombongan Kristian dari Malaysia ini.

Selama berhari-hari kami di hotel yang sama, berselisih di dewan makan, memang rombongan ini tidak menegur kami sedangkan mereka dari Malaysia, duduk di Malaysia.

Tidak ada sepatah pun bahasa Melayu yang keluar dari mulut mereka sedangkan kami saling mengetahui, sama-sama dari Malaysia.

Ada juga kami ingin menegur siapa, tetapi tidak di jawab atau jawapan yang sangat dingin.

Saya tidak tahu, apakah tujuan mereka datang, sama ada untuk lawatan atau ada apa-apa persidangan Kristian yang mereka hadiri.

Saya tidak mengambil perhatian apa yang berlalu walaupun pada tiap-tiap malam, Mahmood akan menceritakan pada saya mengenai ketidak puasan hati mereka pada Islam di Malaysia.
Mahmood memarahi saya…

“Apa dah jadi pada kamu orang Islam di Malaysia hingga hilang sensitviti dalam mempertahankan hak kamu?”

Apa yang mampu saya jawab hanyalah…“berpecah, dan ramai yang berpecah…”

Jawapan yang sangat tidak bersemangat dan seolah-oleh maksudnya, “apa nak jadi, jadilah…”

Ya, kurang rasa sensitiviti….

Allah ingin menunjukkan pada saya sesuatu terhadap jawapan di atas……

1 Disember 2012 jam 8.30 pagi, hari terakhir kami di Palestin…

Biasanya hari terakhir saya akan membawa jemaah semua ke Mount Of Olive (Jabal Zaitun), Pemandangan al-Aqsa dari atas bukit ini terlalu cantik terutama pada waktu pagi, ketika memancarnya cahaya matahari dari arah timur, ia menyerlahkan lagi warna emas Dome Of Rock.

Bas yang kami naiki pada pagi ini adalah bas yang dinaiki oleh rombongan Kristian dari Malaysia sehari sebelumnya.

Seorang jemaah menghampiri saya dengan membawa beberapa helaian kertas yang terdapat di dalam bas ini.

Saya menatap kertas yang diberikan pada saya. Mata saya tertumpu pada tulisannya dan ia menjadikan jantung saya berdegup kencang, mungkin seperti degupan jantung Mahmood sejak seminggu lalu.

Tulisan itu berbunyi:

Decree For Malaysia

“We decree and declare that Malaysia will be a “Rainbow Nation” in seding missonaries to bring the gospel to the surrounding nations as well as be the gateway to open its doors to outside missionaries to preach the gospel here..”

Ini agenda Kristian di Malaysia, inilah yang cuba  Mahmood ceritakan pada saya sejak semingga lalu.

Ketika di Malaysia, saya selalu mendengar tentang agenda pendakyah Kristian, dan setiap kali berita itu keluar saya cuba untuk tidak mempercayainya kerana masih bersangka baik pada mereka.

Lebih-lebih lagi, ada sahaja golongan ahli politik yang memberikan komen popular yang menafikan fakta ini.

Kalau ada orang yang cuba bawa fakta ini, orang itu akan dicap sebagai penipu dan pembohong.

Hal ini menjadikan ramai orang Islam kita merasa berada di zon selesa kerana mempercayai  ahli politik yang punyai kepentingan.

Bagi pendakyah pula, mereka memang berada di zon paling bagus kerana usaha dan perancangan mereka di nafikan sendiri oleh orang Islam. Mereka boleh buat apa sahaja kerana orang Islam sangat tidak sensitif, malahan ada yang membela perbuatan mereka.

Ada beberapa perkara yang saya ingin tekankan:-

1. Bagi pendakyah Kristian, jangan pandang rendah kemampuan pendakwah Islam yang tidak berkepentingan di Malaysia. Kami para pendakwah dan orang-orang yang ikhlas akan tetap mempertahankan kedaulatan Islam di Malaysia sama ada menang atau kami mati di dalam usaha ini.

2. Malaysia bukan milik orang politik yang ada kepentingan yang  menyokong tindakan kamu kerana harapkan sokongan, Malaysia di dokong oleh ramai pejuang agama Islam, bangsa muslim  dan tanah air umat Islam. Kalau orang politik sibuk dengan perpecahan mereka, maka perjuangan itu tetap dibahu oleh umat Islam dari bidang lain.

3. Bagi umat Islam di Malaysia, ini bukan gimik popular, saya bukan ahli politik yang inginkan popular, Biarkan ahli politik bergaduh sesama mereka, yang boleh kita damaikan, kita damaikan atau sedarkan dengan apa cara sekalipun. Perpecahan ini satu yang sangat merugikan. Orang Kristian berbincang hingga ke luar negara merancang untuk mengkristiankan Malaysia, kita hanya menafikan dan hilang sensitiviti.

4. Bagi sahabat-sahabat dari Jabatan Agama Islam, anjurkanlah banyak program-program untuk menjaga dan mengawal umat Islam di Malaysia, bahagian zakat jangan berbangga dengan jumlah kutipan, tetapi usahakan untuk kepentingan umat Islam melalui lapan asnaf seperti yang disebut dalam al-Quran.

5. Bagi semua penguatkuasa agama. Jangan percaya dengan zon selesa yang dibisikkan dan penafian yang dicanangkan oleh orang berkepentingan. Jalankan pemantauan dan penguatkuasaan menurut enakmen yang telah diputuskan.

6. Bagi orang kaya, tolong infak harta untuk menganjurkan program-program keagamaan, semoga Allah sentiasa bersama anda sekelian.

7. Bagi sekelian yang membaca, kita umat Islam terlau beriya-iya ingin menjaga hati orang bukan Islam, adakah orang bukan Islam menghormati dan menjaga sensitiviti kita? Jalankanlah tugasan masing-masing di dalam ruang lingkup kemampuan anda semua, semoga Allah membantu usaha kita.

Semoga pendedahan ini memberi inspirasi pada saya untuk terus membahu Islam, yang ingin bersama mari, yang mahu mencebek dan tidak percaya silakan, yang mahu berfikir, renungkan dan yang mahu mendokan, doakan semua umat Islam di Malaysia agar terpelihara dari agenda global orang kafir.

“Universiti Kehidupan Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
6 Disember 2012 jam 1.15 pagi

Sunday, January 31, 2010

ALLAHU AHAD

Zulkifli Bin Noordin

Muqaddimah

Dan mereka (Kristian & Yahudi) berkata Tuhan Yang Maha Pemurah Mempunyai anak. Sesungguhnya mereka telah mendatangkan sesuatu yang sangat mungkar. Hampir-hampir langit pecah kerana ucapan itu, dan bumi terbelah, dan gunung ganang runtuh, kerana mereka mendakwa ALLAH Yang Maha Pemurah mempunyai anak. Dan tidak layak bagi ALLAH Tuhan Yang Maha Pemurah mempunyai anak”. (Surah Maryam:88-92)

Begitulah serius amaran ALLAH kepada manusia yang mendakwa ALLAH mempunyai anak. Dan kita tidak lupa peristiwa tsunami yang berlaku pada hari Krismas 25 Disember 2004, apabila bumi didasar lautan terbelah, dan ombak menggunung sehingga ratusan ribu nyawa terkorban; dihari mereka merayakan perayaan memperingati kelahiran Jesus yang didakwa anak ALLAH.

Bagi pihak Kristian dan penyokong mereka, ini isu istilah, bagi kita ianya adalah isu aqidah. Bagi mereka ini persoalan bahasa, bagi kita ianya isu agama. Bagi mereka ini perbezaan terminologi, bagi kita ianya perkara tauhid.

Apakah kita tidak menyedari bahawa bila pihak Kristian tersebut mahu menggunakan nama ALLAH, mereka menyebutnya dalam bentuk Allah itu triniti: Tuhan Bapak, Tuhan Anak & Roh Suci! Ini adalah fahaman syirik lagi kufur dari sudut aqidah Islam. Semua 25 Rasul dan 124,000 Nabi dihantar kepada manusia hanya dengan satu mesej yang jelas - sembahlah ALLAH yang Satu.

Sudah lama menggunakan nama ALLAH!

Mereka mendakwa kononnya mereka telah menggunakan nama ALLAH sebagai ganti nama God ratusan tahun. Maka mereka berhak menggunakannya sekarang. Semasa Nabi Muhammad di utus sebagai Rasul, nama ALLAH sudahpun digunakan. Nabi bukan pencipta nama ALLAH, sebaliknya ianya sudah ujud sejak azali lagi.

Maka Nabi Muhammad menyeru manusia supaya marilah menyembah ALLAH. Maka Yahudi menyatakan memang kami bertuhankan ALLAH, tetapi Ia punya anak bernama ‘Uzair. Kristian pula berkata, memang kami mempertuhankan ALLAH, tetapi ALLAH punya anak ‘Isa Al Masih (Jesus). Musyrikin Makkah juga berkata memang tuhan mereka ALLAH, tetapi punya sekutu Latta & ‘Uzza.

Maka mereka bertanya kepada Nabi, siapa ALLAH yang engkau seru kami menyembahnya. Nabi tidak menjawab berdasarkan aqal, tetapi ALLAH menjawabnya dengan berfirman “Qul..huwallah hu Ahad”. Tegaskan bahawa yang dikata ALLAH itu Satu.

Kita tidak pernah mendengar dalam sirah Nabawi bahawa Nabi membenarkan ALLAH dipersekutu dan disyirikkan. Sebagaimana Saidina Ja’afar ibni Abi Tolib Attayar menegaskan semasa berdepan dengan Maharaja Najasyi, Raja Habsyah yang beragama

Kristian dalam peristiwa hijrah pertama. Walaupun sahabat Nabi datang untuk meminta perlindungan dan bantuan Maharaja Najasyi ini, tetapi bila berdepan dengan persoalan aqidah, bila ditanya oleh Maharaja Najasyi apakah kamu tidak mempercayai Al Masih (Jesus) itu anak ALLAH, Saidina Ja’afar tegas membaca Surah Maryam, dan menyatakan bahawa ‘Isa Al Masih adalah Nabi utusan ALLAH, bukannya anak ALLAH!

Tugas dan tanggungjawab kita umat Islam apabila mendengar bahawa ada segelintir manusia telah menyalahguna nama ALLAH dalam bentuk syirik dan kufur bukan dengan mendorong, menyokong atau meredhai mereka terus mensyirik dan mengkufurkan ALLAH, tetapi perbetulkan kembali aqidah mereka dengan dakwah; sebagaimana yang dibuat oleh Rasulullah saw dan para sahabat Baginda. Dan itulah risalah semua para Rasul dan Nabi, iaitu menyerus manusia kepada menyembah ALLAH yang Satu!

ALLAH bukan milik ekslusif umat Islam

Ada dikalangan mereka mendakwa nama ALLAH bukan milik ekslusif umat Islam, tetapi milik semua manusia kerana ALLAH itu robbul ‘alamin - Tuhan seluruh ‘alam. Maka semua orang berhak menggunakan nama ALLAH.

Saya menegaskan bahawa tiada siapa boleh menuntut hak dan pemilikan nama ALLAH. Kerana nama ALLAH ada pemiliknya, iaitu ALLAH sendiri. Dia yang memiliki nama itu, dan Dia menamakan diriNya dengan nama ALLAH. Dan sebagai pemilik nama itu, Dia telah memberi penegasan apa maksud nama ALLAH saperti yang disebut didalam Surah Al Ikhlas, “Katakan bahawa ALLAH itu Satu, kepadaNyalah bergantung segala sesuatu, Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan, Dia tidak setaraf dengan sesiapa pun”.

Maknanya ALLAH telah pun menjelaskan apa maksud nama ALLAH. Dan itu hak Dia kerana Dia pemilik nama itu. Siapa kita untuk menyatakan tidak, apatah lagi mengubah makna nama itu kepada selain daripada ALLAH Yang Satu!

ALLAH dalam bentuk rububiyah dan uluhiyah

Mereka juga mendakwa ALLAH yang membenarkan kafir menggunakan nama ALLAH. Mereka rujuk kepada surah Al Ankabut: 63 dan surah Az Zukhruf : 67, dimana ALLAH berfriman kepada Nabi, “kalau kamu bertanya keda kafir-kafir itu siapa yang mencipta mereka, siapa yang menumbuhkan tumbuh-tumbuhan, maka nescaya mereka menjawab ALLAH”. Berdasarkan ayat-ayat ini, mereka mendakwa ALLAH beri kebenaran untuk mereka menggunakan nama ALLAH.

Mendiang Tan Sri Lim Goh Tong, seorang penganut agama Budha pernah berkata semasa ditanya komen beliau mengapa tanah di Genting boleh runtuh, mendiang Tan Sri menyatakan, “ini Tuhan ALLAH punya kerja!”. Kalau kita tanya mendiang Tan Sri, apakah maksud ALLAH itu tuhan Budhanya, sudah tentu dia akan menjawab bukan, itu Tuhan ALLAH lebih besar daripada patung Budha. Dia mengaku Tuhan lebih besar dari Budha yang berkuasa meruntuhkan tanah di Genting, tetapi dia tetap menyembah Budha.

Pengakuan oleh kafir bahawa ALLAH Maha Pencipta, Maha Peruntuh, Maha Penumbuh, Yang menghidupkan, Yang membinasakan, Yang mematikan dan lain-lain disebut sebagai pengakuan ALLAH dalam bentu rububiyah, iaitu ALLAH dalam bentuk sifat. Tetapi dalam bentuk uluhiyyah, dalam bentuk I’tiqad, kafir-kafir ini masih menyembah berhala, patung dan lain-lain. Itulah maksud ayat tersebut, bukan bermaksud mereka boleh menggunakan nama ALLAH sebagai Tuhan mereka.

Sebab itu kita tidak ambil kisah apabila Tan Sri Lim Goh Tong menggunakan perkataan ALLAH, kerana beliau menggunakannya dalam bentuk rububiyah. Sebab itu kita juga tidak berasa terseinggung apabila kaum punjabi juga menggunakan nama ALLAH, kerana mereka juga menggunakannya dalam bentuk rububiyah. Kalau kaum kristian ini menggunakan nama ALLAH dalam bentuk rububiyah, mengakui bahawa ALLAH Maha Pencipta, Maha Mendengar, Maha Melihat, Yang Menumbuhkan, Yang Meruntuhkan, Yang Menghidupkan, Yang Mematikan dan banyak lagi sifat ALLAH, sudah tentu kita Muslim tidak marah. Tetapi apabila mereka mahu menggunakannya dalam bentuk uluhiyyah, dalam bentuk i'tiqad, bahawa ALLAH punya anak, ALLAH punya sekutu, maka itu menyentuh aqidah kita dan kita akan tentang habis-habisan!! Kita tidak akan berkompromi walau seinci!!

Kristian ‘arab pun mengguna nama ALLAH

Golongan penyokong Kristian ini mendakwa orang Kristian ‘arab pun menggunakan nama ALLAH sebagai nama Tuhan. Saya menegaskan bahawa dalam bahasa ‘arab, memang mereka hanya tahu perkataan Tuhan itu adalah ALLAH. Tidak ada ganti lain bagi perkataan God melainkan ALLAH. Ini kerana memang sejak Nabi Adam hinggalah ke zaman Nabi Muhammad, masyarakat ‘arab hanya tahu nama ALLAH sebagai Tuhan.

Malahan kaum Yahudi dan Kristian memang asal agama mereka pun mempertuhankan ALLAH yang Satu. Itu yang mereka faham. Malahan ada dikalangan Kristian ‘arab yang koptik (orthodox) sehingga kini tidak mengakui ‘Isa anak ALLAH, bagi mereka ‘Isa adalah Nabi. Cuma mereka berbeza dengan Islam kerana menolak kenabian Rasulullah saw.

Tidak semestinya orang ‘arab Kristian menggunakannya maka kristian di Malaysia juga boleh menggunakannya. Dari segi prinsip ‘uruf al balad, pemahaman perkataan itu adalah berbeza menurut masyarakat yang menggunakannya. Contohnya kalau kita ke Jakarta, kita akan dengar orang disana menggunakan perkataan “butuh” – “Saya membutuhkan bapak!”. Bagi kita orang Melayu disini sudah tentu terkejut, kerana itu perkataan carut bagi kita; tetapi bagi masyarakat sana, perkataan itu bermakna “saya memerlukan bapak”.

Maka tidak bermakna perkataan itu telah digunakan beribu tahun oleh bangsa Indonesia, maka kita disini pun mahu menggunakannya dalam bentuk yang sama. Cuba kita berjumpa seseorang di pasar borong Selayang, dan berkata ‘kakak, saya membutuhkan engkau”; saya pasti pelempang akan naik ke muka kita. Kerana ‘uruf al balad, kefahaman masyarakat setempat bagi perkataan itu berbeza bagi Indonesia dan Malaysia.

Begitulah nama ALLAH, bagi masyarakat ‘arab ianya dari segi istilah bahasa membawa makna tuhan, tetapi bagi kita di Malaysia ia membawa makna Tuhan yang khusus, Tuhan yang Satu yang kita sembah.

Satu agenda halus

Kekadang kalau kita membaca ruangan obituari dalam akhbar (Koran) di Indonesia, akan tercatat disitu “kita mengucapkan takziah atas pemergian Almarhum Paulus yang kembali ke rahmat ALLAH, moga beliau diberi keampunan dan dimasukkan ke dalam syurga. Majlis selawat untuk almarhum akan diadakan di rumah ALLAH Jalan Surabaya jam delapan malam”.

Masalahnya Almarhum Paulus itu adalah kristian!!

Kalau ditanya gadis-gadis Melayu di Indonesia, apa mereka tidak rasa janggal berpacaran dengan jejaka Kristian, mereka akan menjawab, ‘apa-apaan dong, si Paulus itu kan tuhannya ALLAH, dia juga mau masuk surga macam saya, apa bezanya dong!!”. Maka kita tidak kehairanan melihat suaminya kristian, isterinya Islam, dan anaknya hindu. Masyarakat yang sudah cacamerba, habis dirojakkan.

Apakah pernah kita bertanya satu soalan yang sangat asas, tanyalah kepada kristian disini yang beriya-iya mahu mengguna nama ALLAH sebagai nama tuhan mereka, apakah sebenarnya tuhan kamu. Bukankah kepercayaan kamu adalah kepada Jesus, tuhan yang menjelmakan dirinya dalam bentuk anaknya dengan tiupan roh suci. Mengapa nama tuhan kamu Jesus dalam bahasa Inggeris dan lain-lain, tetapi untuk bahasa Melayu, tulisan versi Melayu, dihadapan orang melayu, nama tuhan kamu tiba-tiba bertukar menjadi ALLAH! Tidakkah ini suatu kepelikan?

Sedangkan Reverend Albert Mohler, seorang paderi kanan kristian di Amerika, menolak cadangan oleh Paderi Tiny Muskin dari Belanda yang mencadangkan supaya nama ALLAH diguna sebagai gantinama tuhan. Dan cadangan Paderi Tiny Muskin menerima bantahan besar-besaran oleh masyrakat Euro-Amerika. Tetapi mengapa di Malaysia ini kristian berkeras mahu mengguna nama ALLAH sebagai gantinama tuhan? Sudah tentu ada udang dibalik batu, ada agenda halus yang sedang disusun. Mereka berjaya melakukannya di Indonesia, mereka sedang cuba melakukannya di Malaysia.

Apakah nanti suatu hari mereka akan menuntut, atas nama hak asasi kemanusiaan, supaya Surah Al Ikhlas tidak lagi dibaca, kerana mengguris perasaan kaum kristian yang mempercayai tuhan ada anak, sedangkan surah itu menegaskan Tuah itu Satu!!

Fitnah keimanan yang melanda

Rasulullah saw pernah bersabda, “bersegeralah kamu pada melakukan ‘amalan soleh, kerana akan suatu masa nanti kamu akan didatangi suatu fitnah keimanan, fitnah yang datang saperti kepingan malam, kamu ntidak akan nampak kedatangannya”.

Apakah fitnah itu ya Rasulullah, tanya para sahabat. “Kamu Islam waktu pagi, kamu kafir waktu petang, kamu Islam waktu petang, kamu kafir waktu pagi!”.

Inilah fitnah yang sedang melanda umat Islam hari ini. Didalam masjid, kerana dia berjanggut serban, kerana dia selalu bertakbir kuat, maka dia manjadi imam. Lalu dibacanya surah Al Ikhlas, “Katakanlah ALLAH itu Satu, kepadaNya bergantung segala sesuatu, Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan, Dia tidak setaraf dengan sesiapa pun”.

Namun orang yang sama, sebaik sahaja keluar daripada masjid, berdiri diatas pentas politik, dia petah berpidato, “saudara-saudara, adalah hak rakan Kristian kita untuk menggunakan nama ALLAH, sebagai Tuhan Bapak, Tuhan yang punya Anak, dan Tuhan yang bersekutu dengan Roh Suci. Kita sepatutnya menyokong dan mendokong tuntutan rakan Kristian kita ini, kita wajib memperjuangkan hak perlembagaan mereka! Takbir..takbir..takbir!!”.

Didalam masjid ALLAH itu Satu, diatas pentas politik ALLAH itu punya anak punya sekutu. Mengapa ada dikalangan kita sanggup menjadi ular lidah bercabang dua?

Para sahabat bertanya, “ya Rasulullah, bagaimana mungkin boleh jadi fitnah keimanan sebegitu dahsyat kepada umat islam?”. Jawab Rasulullah, ‘hubbud dunnya, wakarohyatul maut!”. Mereka terlalu sayangkan dunia, mereka takut mati!

Inilah yang terjadi kepada umat Islam hari ini. Mereka terlalu sayangkan jawatan, cintakan kedudukan, gilakan habuan, mereka mengejar ayat-kerusi, bukan Ayatul Kursi (Al Baqarah: 255), tetapi kerusi empuk Yang Berhormat, kerusi empok Ahli Parlimen, kerusi empuk ADUN, kerusi empuk kekuasaan, kemakmuran, kekayaan dan kedudukan. Dan mereka takut sangat kedudukan, jawatan dan habuan itu mati, mereka takut kalah di peti undi. Mereka menjadi penyembah demokrasi, mereka nyahkan keagungan Ilahi.

Semoga ALLAH memberikan kita petunjuk dan hidayahNya, dan memelihara keimanan kita, dan memberikan kita kekuatan dan istiqomah untuk berjuang mempertahankan risalah tauhid yang suci ini, insyallah.

Wassalam.

Sunday, January 17, 2010

APA YANG MASIH TINGGAL PADA KITA?

Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Saya terpanggil untuk menulis mengenai polemik kalimah Allah yang telah diputuskan oleh mahkamah yang berpihak kepada Kristian Katolik baru-baru ini. Penulisan yang menyokong keputusan mahkamah memenuhi setiap ruang laman-laman web ultra kiasu tanpa menghiraukan sensitiviti umat Islam. Begitulah wajah sebenarnya mereka yang selalu menuduh media lain tidak betul, siapakah sebenarnya yang betul? Kumpulan ini tidak pernah bersyukur, malah semakin berani menunjukkan belangnya.

Saya tidak menafikan hak agama lain untuk menggunakan kalimah Allah, sekurang-kurangnya kalimah ini menjadi sebutan mereka, manalah tahu suatu hari ini merekapun turut ikut bersunat. Namun, saya amat musykil, tetapi kenapa baru sekarang menjadi isu besar? Apakah tujuan di sebaliknya? Siapakah sasaran mereka? Sebagai umat Islam kita perlu memahami isu ini.

Bagi mereka yang tidak menyertai NGO, mungkin mereka tidak berapa nampak niat mereka yang sebenar. Tetapi bagi kami yang selalu berdamping dengan NGO, kami sudah masak dengan teknik dan taktik mereka ini. Mereka tidak akan berhenti untuk menuntut sehingga cita-cita mereka tercapai. Mereka akan menuntut semaksima mungkin, walaupun nampak seolah-olah tuntutan tersebut amat ekstrim. Mereka tahu, jika kerajaan tidak memenuhi kesemuanya, sekurang-kurangnya kerajaan akan memberi sebahagian. Sebahagian itu adalah kemenangan besar kepada mereka. Dengan sebab itu, kerja mereka hari ini ialah menuntut dan mendesak, apatah lagi ketika umat Islam dilanda perpecahan yang begitu melemahkan. Saya tidak fikir mereka sebegitu berani jika umat Islam bersatu. Sejarah menunjukkan bahawa apabila sesebuah bangsa itu kuat, biasanya ia akan digeruni.

Rakan-rakan facebook saya mengadu, ada kalangan orang Melayu Islam telah keluar daripada Islam dan menganut agama lain. Kumpulan ini begitu aktif menjalankan kerja dakwah mereka walaupun mereka tahu ia bertentangan dengan perlembagaan persekutuan. Hal yang sama pernah berlaku kepada Siti Hasnah Vengarama atau Banggarma Subramaniam baru-baru ini. Kita begitu hairan kenapa orang bukan Islam begitu berani ‘menikahkan’ Banggarma dengan lelaki bukan Islam yang ternyata bertentangan dengan perlembagaan dan salah di sisi undang-undang.

Walaupun Banggarma mengatakan bahawa dia sudah tidak Islam lagi, tetapi beliau masih tertakluk kepada undang-undang syariah, tidak kiralah sama ada dia beramal dengan Islam ataupun tidak. Mereka yang bertanggungjawab menikahkan beliau, sepatutnya merujuk kepada pihak berkuasa agama, sebagai tanda penghormatan ke atas agama Islam. Ironinya, sehingga kini tidak ada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkuasa agama Islam. Tidakkah ini dinamakan toleransi?

Saya masih ingat, apabila isu ini disensasikan, belum apa-apa lagi kita lihat reaksi Majlis Perundingan Bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) menggesa Mahkamah Syariah membenarkan Banggarma menganut agama Hindu dan sekali gus meninggalkan Islam, tanpa perlu melalui proses biasa di mahkamah. Paderi Kristian selaku presiden MCCBCHST berpendapat, murtad itu sah kerana menganut agama Islam pada masa kecil sahaja dan tidak pernah mengamalkan ajaran Islam. Paderi tersebut mendesak agar memberikannya kebebasan memilih agama kerana ia berumur lebih 21 tahun. Mahkamah Syariah dikatakan tidak layak kerana tidak mempunyai bidang kuasa ke atas ‘mereka yang tidak mengamalkan agama Islam’.

Persoalan saya, siapakah paderi tersebut untuk mengatakan sama ada Mahkamah Syariah layak atau tidak mengadili kes ini. Janganlah bertindak seperti hakim. Kita harus bersifat professional dan bukan beremosi serta bersentimen. Hormatilah kedudukan Islam selaku agama persekutuan. Ini tidak, belumpun perkara ini dibawa ke mahkamah, mereka sudah menjadi hakim. Saya amat bimbang jika wujud hakim seperti ini dalam mahkamah.

Berbalik kepada kes kalimah Allah ini, semua badan NGO bukan Islam bersatu hati mahukan kita menghormati keputusan mahkamah. Ironinya, bila keputusan menyebelahi bukan Islam, kita disuruh menghormati mahkamah dan keputusan itu adalah keputusan yang adil, tetapi bila keputusan menyebelahi orang Islam, mereka kata mahkamah berat sebelah dan telah dipengaruhi tangan-tangan tertentu. Adakah tindakan ini wajar? Kenapa kita tidak bertindak secara profesional?

Apa jua alasan kita mengenai isu penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam, mudarat dan sakitnya lebih dirasai oleh umat Islam. Sepanjang pengamatan saya, di negara-negara barat majoriti Kristian, kalimah Allah tidak pernah digunakan sama sekali, sama ada digereja-gereja mahupun percakapan harian. Malah dalam filem-filem merekapun, saya tidak pernah menonton atau mendengar kalimah Allah digunakan.

Tidak dinafikan bahawa kalimah Allah telah digunakan di Indonesia dan beberapa negara Arab yang lain. Begitu juga di Sabah dan Sarawak. Persoalannya, adakah ia bermakna negeri lain perlu terikut sama?

Saya cukup hairan kenapa kita harus melayan tuntutan Kristian di Semenanjung yang hanya berjumlah kurang dari 9 peratus, berbanding dengan agama lain yang lebih dari itu. Seperti yang saya sebut sebelum ini, walaupun mereka sedikit, publisiti mereka sehingga menenggelamkan agama yang lain. Sedangkan kita tahu dari segi hak, mereka yang beragama Buddha, Konfucius dan Taoisme mempunyai lebih sedikit hak, sebab mereka ada 22 peratus.

Pada saya, apapun hujah untuk membenarkan Kristian menggunakan nama Allah, perlu ada pertimbangan antara mudarat dan sensitiviti umat Islam serta kesesuaiannya dengan perlembagaan negara kita. Bukanlah bermakna kita takut dengan dakyah Kristian, tetapi berpada-padalah dengan kedudukan mereka yang hanya 9 peratus. Kementerian Dalam Negeri dan Majlis agama Islam negeri mesti bertindak tegas ke atas mereka tanpa kompromi jika adalah risalah yang cuba untuk mengelirukan umat Islam. Perkara ini amat penting bagi menghindarkan mudarat lebih besar yang boleh menimpa orang awam Islam yang agak lemah dan mengelakkan konflik.

Justifikasi beberapa cendekiawan dan pertubuhan Islam yang tidak melarang penganut agama lain menggunakan kalimah Allah bagi Tuhan mereka, agak berat juga untuk diterima. Alasan mereka, “umat Islam tidak perlu berebut nama Allah dengan penganut Katolik. Mereka berhak menamakan Tuhan mereka dengan nama Allah kerana dalam al-Quran pun kaum Musyrikin menggunakan nama Allah”. Benarkah begitu? Mereka seolah-olah mendakwa Allah ‘membenarkan’ namaNYA digunakan oleh bukan Islam bagi merujuk kepada Tuhan Bapa, Jesus, dan segala sembahan yang bathil dan syirik itu.

Selaku bekas penganut Kristian bersama-sama beberapa rakan lain, kami tahu benar bagaimana orang Kristian bekerja. Cuma, saya ingin mengingatkan umat Islam supaya lebih berwaspada dan berhati-hati. Kalimah Allah ini merupakan salah satu tuntutan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) suatu ketika dahulu. Walaupun IFC belum berjaya ditubuhkan, mereka berselindung di bawah MCCBCHST. Boleh dikatakan hampir kesemua 14 tuntutan yang mereka kemukakan telah berjaya dipenuhi. Tuntutan ini ternyata menggugat kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.

Antara tuntutan mereka adalah,

Pertama: seseorang anak yang dilahirkan oleh ibubapa Islam tidak seharusnya secara terus menjadi orang Islam.

Kedua, orang bukan Islam yang telah memeluk Islam hendaklah diberikan kebebasan untuk kembali kepada agama asal mereka (murtad) dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Ketiga, sebarang kes pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan oleh mahkamah syariah tetapi dikendalikan oleh mahkamah sivil.

Keempat, tidak perlu dicatatkan di dalam kad pengenalan seseorang Muslim bahawa ia beragama Islam.

Kelima, orang bukan Islam tidak perlu dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam. Orang Islam hendaklah dibenarkan keluar daripada Islam (murtad) sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa boleh dikenakan apa-apa tindakan undang-undang.

Keenam, seseorang atau pasangan suami isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut diberikan hak jagaan anak.

Ketujuh, orang yang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seorang yang memeluk Islam hendaklah diberikan hak menuntut harta pusakanya selepas kematiannya.

Kelapan, kerajaan hendaklah menyediakan dana yang mencukupi untuk membina dan menyelenggara rumah-rumah ibadat orang bukan Islam sebagaimana kerajaan menyediakan dana yang serupa untuk masjid.

Kesembilan, orang bukan Islam hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada menggunakan perkataan-perkataan suci Islam dalam percakapan dan sebagainya.

Kesepuluh, bibel dalam bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia sepatutnya dibenarkan untuk diedarkan kepada umum secara terbuka.

Kesebelas, pelajaran agama bukan Islam untuk penganut agama itu hendaklah diajar di semua sekolah.

Kedua belas, program-program berunsur Islam dalam bahasa ibunda sesuatu kaum hendaklah ditiadakan. Program dakwah agama lain selain Islam pula hendaklah dibenarkan untuk disiarkan dalam bahasa ibunda masing-masing, dan

Ketiga belas: orang-orang Islam yang membayar zakat tidak sepatutnya dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan dan wang hasil zakat sepatutnya digunakan juga untuk keperluan orang bukan Islam dan akhirnya,

Keempat belas:

sepatutnya Islam tidak disebut sebagai pilihan pertama masyarakat Malaysia seperti dalam soal pakaian menutup aurat kepada pelajar sekolah.

Persoalan saya, hampir kesemua tuntutan telah tercapai, tidak cukupkah lagi toleransi yang telah ditunjukkan oleh kepimpinan umat Islam hari ini? Pada saya, kita sudah terlebih memberi, atas dasar demokrasi dan takut kepada ugutan mereka. Inilah kelemahan kita yang menyebabkan orang lain berani memijak kepala.

Toleransi umat Islam telah sampai ke tahap yang cukup tinggi. Seingat saya, umat Islam tidak pernah atau amat jarang campurtangan dalam hal ehwal agama bukan Islam. Apatah lagi untuk mengganggu-gugat istilah agama mereka seperti Pope, Paderi (priest), Sami (Monk) dan sebagainya. Ini disebabkan oleh prinsip kita yang menghormati agama lain.

Justeru, adakah salah kita ingin mempertahankan sedikit yang masih ada? Jika sedikit ini terus mahu diambil dan dikongsi, apakah yang masih tinggal pada umat Islam di buminya sendiri? Justeru, tindakan kerajaan melarang penggunaan nama Allah dalam surat khabar Herald adalah tindakan tepat dan positif yang bermakna bagi umat Islam. Ia perlu disokong oleh semua umat Islam tanpa berbelah bahagi. Pada masa sama janganlah bertindak di luar batasan agama seperti membakar gereja, itu sudah ekstrim namanya. Jika berlaku peperangan sekalipun, Islam tidak membenarkan kita meroboh atau memusnahkan rumah ibadat mereka. Begitulah indahnya Islam. Pun begitu, kita masih belum tahu siapakah sebenarnya yang membakar gereja? Mungkin orang Islam? Mungkin tidak? Atau mungkin juga orang bukan Islam yang mahu menangguh di air yang keruh? Pokoknya, jangan mudah menuding jari dengan mengatakan orang Islam yang buat.

Apa yang berlaku pada hari ini ialah kita hanya mempertahankan kalimah Allah untuk tidak digunakan sewenang-wenangnya. Syarat-syarat ketat hendaklah dikenakan sekiranya kalimah ini ingin digunakan. Kuasa yang ada dalam perlembagaan hendaklah digunakan sepenuhnya untuk mempertahankan dan menyelamatkan maruah agama tercinta ini. Saya dengan penuh takzim menyembah ke bawah duli Tuanku, Majlis Raja-Raja Melayu untuk campurtangan menyelamatkan kesucian Islam daripada dicemari oleh tangan-tangan yang cuba mengotori kesucian ad-deen ini. Ambillah pengajaran yang berlaku ini untuk kita bangkit kembali menjadi aktif serta proaktif, dan bukannya action-oriented. Bila sudah berlaku barulah kelam-kabut. Tidakkah kita perlu sentiasa bersedia dan beristiqamah mempertahankan maruah agama mulia ini dan bukannya bermusim? Semoga Islam akan terus menyinar dan bersinar.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Posted on Friday, January 15 @ 19:28:16 PST by tokdalang