Thursday, December 3, 2009

MARI KITA BERSAMA MEMAHAMI APA DIA SISTEM DUA PARTI


PEPSI DAN COKE ADIDAS DAN PUMA

Pada tahun 2009 ini wacana politik dalam negara kita cuba menyebarkan berita tentang kemungkinan terwujudnya sistem dua parti – Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Malah huh hah huh hah tentang sistem dua parti ini telah tersebar lama. Ada yang menyeringai gembira seperti di malam pertama bedua-duaan di bilik bersama kekasih bila mendengar kemungkinan ini.

Sistem dua parti ini adalah satu penipuan. Satu illusi yang dirancang oleh kaum pemodal. Satu pemesongan projek demokrasi yang amat terancang untuk mengkaburi mata orang ramai agar gagal melihat intipati politik dan makna hakiki demokrasi

Lalu saya bertanya adakah sesiapa yang dapat membezakan Pepsi dengan Coke? Adakah sesiapa yang dapat membezakan Adidas dengan Puma? Hakikatnya - pemilik saham Pepsi adalah juga pemilik saham Coke. Hakikatnya - Puma dan Adidas adalah dua beradik yang membuka peniagaan yang sama – satu kedai di kiri jalan dan sebuah lagi di kanan jalan. Kedua-duanya mengamalkan sistem kapitalis yang berlandaskan keuntungan. Yang membezakan hanya ejaan nama yang bermula dengan A dan P.

Kita wajib sedar bahawa kaum pemodal akan terus merancang untuk memastikan kepentingan ekonomi mereka selamat. Apa yang mereka pertahankan bukan saekar kebun getah atau sebuah Kancil. Yang mereka pertahankan ialah sistem ekonomi kapitalis yang selama 150 tahun ini telah mengembongkan saku dan dompet mereka. Sistem ini telah menjadikan mereka senang lenang dan kaya raya dengan harta berbilion-bilion dolar dan ringgit.

Kuasa yang mengancam dan menyusahkan kehidupan umat manusia dalam dunia hari ini sebenarnya adalah kuasa kaum pemodal. Kaum pemodal inilah yang merancang untuk memastikan parti apa yang naik dan parti apa yang turun. Siapa dapat jadi menteri dan siapa yang akan dipencenkan. Para politikus dalam sistem kapitalis ini hanyalah Mat Heboh yang diupah berlabun di parlimen untuk mengubal undang-udang dan memastikan kepentingan kaum pemodal dijaga rapi.

Perhatikan bagaimana undang-undang yang diluluskan di parlimen TIDAK akan dan TIDAK pernah menyebelahi kepada kepentingan kaum buruh atau kaum pekerja. Perhatikan cukai mukai yang di kenakan. Pemotongan cukai untuk kaum pemodal akan diutamakan. Dalam masa yang sama mereka yang miskin akan berselirat dengan cukai mukai. Kalau tidak percaya sila tunggu cukai baru : Cukai Barang dan Khidmat. Akan terlondeh seluar dalam Mak Minah dan akan tergadai Cupcai Pak Ali bila cukai ini sampai.

Jika masih belum yakin biar saya nyatakan satu lagi contoh terbaik : lihat apa yang terjadi kepada dasar kerajaan Pakatan Selangor yang melarang bangunan didirikan di lereng bukit. Ini cita-cita Pakatan Rakyat ketika berkempen untuk membawa kebaikan dan keselamatan kepada warga. Lihat apa yang berlaku dibelakang tabir. Kaum pemodal – pemaju dan para kontrektor telah melobi. Akhirnya larangan ini ditarik kembali. Kenduri menarah bukit diteruskan kembali.

Lihat pula apa yang terjadi apabila berlaku runtuhan di Bukit Antarabangsa. Laporan yang ingin diumumkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor gagal kerana laporan ini disimpan oleh Akta Rahsia. Akta seperti ini semuanya diwujudkan untuk memastikan kaum pemodal – syarikat pemaju , kontrektor dan syarikat air - terselamat dan keuntungan mereka terjamin. Yang mati terkambus telah selamat ditalkinkan - jangan buat bising biarkan badan mereka dimakan cacing.

Ini bukan tohmah, propaganda atau berita putar yang saya ajukan kerana saya muflis dan tidak memiliki harta kekayaan. Ini adalah hakikat dihadapan mata kita. Buka mata dan dengar. Buka telinga dan lihat. Klik komputer dan baca. Jangan menjadi Mat Malas. Ketuk kepala lutut dan goncangkan kepala untuk berfikir. Nilai dan fahami mana yang tohmah, mana yang putar alam dan apa dia kebenaran.

Kaum pemodal dan para kapitalis bergerak dengan licik. Ketika ini kaum pemodal di Malaysia melihat dan membaca tanda-tanda politik yang sedang berlaku dalam negara ini. Mereka menyedari bahawa gaya dan politik lama yang selama ini membawa keuntungan yang amat lumayan tidak mungkin akan berterusan. Apa yang terjadi pada 8 March 2008 mengajar mereka untuk memahami bahawa warga dalam negara ini mahukan perubahan dan sedang menuntut hak demokratik mereka.

Dengan arif dan dengan wang ringgit - kaum pemodal merancang untuk melahirkan apa yang dipanggil sistem dua parti. Contoh sistem dua parti ini sedang kita lihat berjalan dengan lancar di United Kingdom dan di Amerika Syarikat. Di UK ada Parti Konservatif dan Parti Buruh. Di Amerika ada Parti Republican dan Parti Democrat.

Parti-parti ini bertukar ganti untuk menjalankan pentabiran. Madame Thatcher dari Parti Konservatif akhirnya diganti oleh Tony Blair dari Parti Buruh. George Bush Senior dari Republican di ganti oleh Bill Clinton dari Democrat. Kemudian Clinton di ganti oleh George Bush Junior yang kemudiannya digantikan pula oleh Barack Obama dari Parti Democrat.

Parti politik dan susuk yang memimpin pentabiran kelihatan ini bertukar berganti. Tetapi hakikatnya sistem ekonomi kapitalis tidak berubah. Inilah dia silap mata Pepsi Cola dan Coca Cola yang selama ini telah berjaya menipu. Kapitalisma tidak berganjak. Kaum pemodal tidak hilang keuntungan walau parti mana pun yang naik atau turun.

Justeru, perubahan antara Democrat ke Republican atau dari Konservatif ke Parti Buruh hanyalah satu ilusi untuk menipu orang ramai. Tidak ada apa-apa perubahan yang hakiki telah berlaku. Tuan punya bank masih kaya raya. Tuan punya kilang masih memerah tenaga buruh murah. Para kontrektor masih membalon orang ramai. Cukai masih di tahap yang sama. Kaum pemodal terus melipatkan gandakan keuntungan.

Orang ramai dan para pengundi digula-gulakan dengan perubahan dari parti ini ke parti itu. Dari presiden yang ini ke presiden yang itu. Ini adalah helah kaum pemodal agar orang ramai tidak akan menuntut perubahan sistem yang sedia ada.

Didalam kempen-kempen pilihan raya kita akan mendengar labon dan heboh heboh dari Mat Heboh yang ingin menjadi YB. Teliti dengan rapi : mereka semuanya berjanji untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang lebih baik dari yang sedia ada.

Apa sebenranya janji-janji para Mat Heboh bakal YB ini? Mereka berjanji akan menjalankan pentabiran dengan lebih cekap, lebih amanah dan lebih bersih. Ini ertinya mereka berjanji akan menjadi Mat Heboh yang lebih cekap, lebih amanah dan lebih bersih kepada kaum pemodal. Merekalah Mat Heboh yang terbaik untuk mengendalikan sistem ekonomi kapitalis ini.

Tidak pernah kita mendengar bahawa yang haprak dan yang membawa kemudaratan terhadap umat manusia hari ini ialah sistem ekonomi kapitalis yang mengajukan rukun iman : keuntungan maksima.

Rukun iman inilah yang sedang membawa porak peranda kepada kita semua hari ini. Keuntungan maksima yang dijadikan rukun iman ini akan membolehkan apa sahaja dilakukan asalkan ianya membawa untung. Balak dikeluarkan kerana ianya membawa untung. Pelacur datang dari China kerana ianya membawa untung. Hospital diswastakan kerana ianya membawa untung. Dadah diniagakan kerana ianya membawa untung.

Jika kita menyedari hakikat ini maka kita tahu bahawa sistem dua parti ini adalah kong kalikong. Tidak ada apa apa perubahan hakiki yang akan berlaku jika yang diajukan untuk dipilih hanyalah siapa yang lebih cekap mentabir sistem kapitalis.

Adakah Barisan Nasional lebih baik untuk keuntungan kapitalis atau Pakatan Rakyat yang akan mentabir dengan baik sistem kapitalis ini? Jika ini yang dipersoalkan maka saya jamin kita semua kena tipu oleh kaum pemodal dengan sistem dua parti yang sedang mereka rancangkan.

Apa yang seharusnya kita tuntut bukan sistem dua parti. Bukan siapa yang lebih cekap dan lebih amanah mentabirkan sistem kapitalis. Yang wajib menjadi rukun iman kita ialah menghancurkan sistem ekonomi yang berasaskan keuntungan maksima. Yang menjadi rukun iman kita ialah kita berjuang untuk melahirkan sistem ekonomi yang berasaskan kebajikan untuk umat manusia.

Sistem dua parti atau dua ratus buah parti ini tidak memiliki apa-apa makna yang hakiki jika kita masih lagi dalam sistem ekonomi yang berimankan keuntungan maksima. Apa yang wajib kita sokong bukan mereka yang berijazah, berdatuk, bertun atau berserban - ini tidak penting. Yang penting ialah mereka yang kita pilih akan berani bangun berjuang untuk melahirkan satu sistem ekonomi yang berimankan kebajikan untuk manusia.

Kita jangan ditipu untuk diberi pilihan sama ada untuk membeli kasut Adidas atau kasut Puma. Kita mahukan kasut kulit yang baru. Kita jangan ditipu untuk memilih Coke Cola atau Pepsi Cola. Kita tidak mahu minuman itu. Kita mahu air advocado yang sehat untuk umat manusia.

Dipetik dari Tukar Tiub: Khamis, 3 Disember 2009

Monday, November 9, 2009

MEMPERTUHANKAN POLITIK: BAI'AH TALAQ!


Salam 2 all,

Saya sangat terkejut dengan pengakuan seorang YB Ahli Parlimen PAS yang mendedahkan kepada umum dan disiarkan dalam akhbar utama hari ini Sabtu 17 Zulqaedah 1430/ 07 Nov 2009 bahawa tiap calun wakil rakyat PAS dikenakan syarat bahawa mana-mana ahli yang dipilih menjadi calun bertanding mana-mana kerusi DUN atau Parlimen dikehendaki mengangkat bai'ah (sumpah setia) jika calun tersebut menang pilihanraya dan kemudiannya memilih meninggalkan PAS maka isterinya akan jatuh talak tiga. Beliau mendakwa dasar ini akan menjamin wakil rakyat PAS tidak akan melompat parti!

Saya sendiri telah mendapatkan pengesahan dan pengakuan daripada beberapa wakil rakyat dan kepimpinan PAS yang membenarkan berita tersebut.

Pertama, apa yang menghairankan saya mengapa YB Ahli Parlimen PAS tersebut memilih membuat pengakuan tersebut dan mendedahkannya kepada umum dan disiarkan dalam akhbar-akhbar utama? Mengapa beliau tidak membangkitkan isu ini secara dalaman dan mencari jalan penyelesaian secara muzakarah malalui saluran dalaman parti.

Saya sendiri telah dihubungi oleh ramai pihak termasuk para wartawan untuk mendapatkan komen dan ulasan serta pendirian saya dalam isu ini. Memandangkan YB Ahli Parlimen PAS tersebut telah membuat pengakuan terbuka dan mendedahkannya kepada umum, termasuk disiarkan dalam akhbar-akhbar utama, saya tiada pilihan melainkan terpaksa memperjelaskannya secara terbuka dan menyatakan pendirian saya secara umum.

Bagi saya, ini adalah satu dasar yang paling tidak masuk aqal lagi memeranjatkankan yang pernah saya dengar. Amatlah malang bagi mana-mana gerakan yang menjadikan Islam sebagai teras perjuangan menjadikan bai'ah seumpama itu sebagai dasarnya!

Dasar ini mengembalikan kita balik ke zaman jahiliah, dimana wanita menjadi bahan dagangan, pajakan dan gadaian.

Tidakkah kita sedar bahawa perceraian adalah perkara halal yang paling dibenci ALLAH! Dan kita jadikan perkara yang paling dibenci ALLAH ini sebagai dasar bai'ah dan sumpah ta'at setia!

Saya pada mulanya tidak mempercayai berita tersebut, apatah lagi didedahkan oleh akhbar arus perdana. Maka saya telah meminta sahabat-sahabat wakil rakyat PAS mengesahkannya. Saya sangat terkejut apabila sahabat-sahabat wakil rakyat dan kepimpinan parti tersebut mengesahkan bahwa mereka sendiri telah pun mengangkat bai'ah tersebut.

Malah ada diantara mereka menceritakan bagaimana mereka sendiri menggigil apabila mengangkat bai'ah tersebut. Yang paling sedih, ada diantara para isteri yang dikehendaki hadir dalam majlis bai'ah ini menangis dan menggeletar mendengar ikatan perkahwinan mereka dijadikan bahan tebusan demi untuk kepentingan politik kepartian yang terlalu sempit dan jumud..

Inilah apa yang saya labelkan sebagai mempertuhankan politik, mempertuhankan demokrasi. Apakah kita terlalu taksub dengan politik sehingga sanggup menggadai kesucian dan kemuliaan dan kemurnian perkahwinan sebagai bahan gadaian politik.

Saya pada mulanya tidak bercadang mahu menulis mengenai isu ini, dan berharap ianya dapat diselesaikan cara baik. Namun saya terkejut apabila menghubungi beberapa tokoh parti yang bukan sahaja tidak merasa bersalah dan berdosa dengan bai'ah talaq tiga ini, malahan mempertahankannya dengan alasan-alasan yang dangkal lagi memualkan, yang langsung tidak ada sandaran kepada Al Quran, sunnah Rasulullah mahupun 'amalan para sahabat dan khulafa' rasyidin. Ianya sekadar dasar yang berpaksikan kepada alasan dan sandaran aqal dangkal semata-mata!

Dan saya makin rasa terpanggil menulis isu ini apabila sahabat-sahabat wakil rakyat yang telah berbai'ah meminta saya membawa isu ini, apatah lagi ianya sudah pun menjadi isu umum setelah didedahkan oleh YB Ahli Parlimen tersebut. Mereka sudah tidak boleh menanggung bebanan yang dipikul, tetapi mereka tidak mampu untuk mendedahkannya kerana takut dikutuk dan dikenakan tindakan. Namun mereka meminta isu ini dibincangkan supaya tindakan segera dapat diambil dan kemungkaran yang berlaku dapat dicegah. Mereka berharap apabila isu ini terdedah, maka ada jalan keluar bagi mereka dari ikatan bai'ah dan sumpah ini.

Saya sedar bahawa bai'ah adalah sesuatu yang dibenarkan syariat. Malah Nabi sendiri pernah mengambil bai'ah daripada para sahabat.

Tetapi dalam isu ini asas bai'ah yang diangkat ialah dengan menjadikan isteri dan perkahwinan sebagai bahan tebusan. Mengapa isteri, iaitu pihak ketiga dalam hubungan diantara calun dengan partinya menjadi mangsanya. Bagaimana pula dengan anak-anak yang turut akan menjadi mangsa.

Soal samada calun tersebut benar-benar melompat parti atau tidak tidak timbul. Soal samada perceraian benar-benar berlaku atau tidak bukan isunya. Soalnya ialah mengapa kesucian, kemurniaan dan kemuliaan rumahtangga dijadikan tebusan bagi bai'ah politik ini.

Mengapa tidak dibuat bai'ah dalam bentuk lain. Contohnya bai'ah saperti sumpah la'nat; iaitu saperti:
"Wallahi, watallahi, wabillahi. Saya (polan bin polan) calun bagi kerusi (sekian sekian) dalam pilihanraya ke 12 ini dengan ini bersumpah jika saya memenangi kerusi ini dan kemudiannya keluar dan tidak lagi menjadi Ahli PAS atas apa sebab sekalipun maka saya akan mengosongkan kerusi tersebut sertai-merta, jika tidak la'nat ALLAH ke atas saya".

Saya cukup yakin mana-mana calun akan berfikir banyak kali jika ia bercadang nak melompat parti dengan bai'ah saperti ini.

Saya khuatir dengan isu saperti ini, mereka yang menyokong PAS selama ini akan menjadi ragu-ragu, malah akan menukar sokongan mereka. Sudah tentu kekhuatiran ini berasas.

Bagaimana rakyat nak meletakkan harapan dan kepercayaan untuk kita memimpin dan memerintah negara jika kita sanggup menggadai dan menjadikan isteri dan perkahwinan kita sendiri sebagai gadaian politik?

Apakah kelak bila menjadi Kerajaan Persekutuan dan memerintah maka semua pegawai dan kakitangan kerajaan akan dipaksa berbai'ah menceraikan isteri mereka jika tidak ta'at kepada Kerajaan?!

Saya lebih terkejut apabila diberitahu bahawa dasar bai'ah talaq tiga keatas isteri ini diluluskan dan direstui oleh kepimpinan sendiri. Apakah ini benar? Beberapa orang kepimpinan yang ditanya mengesahkannya. Saya masih lagi berharap maklumat ini tidak benar, tetapi jika ini benar saya sudah kehilangan ayat dan perkataan untuk menggambarkan perasaan dan pandangan saya.

Sebab itu saya berharap Majlis Syura dan Dewan Ulama' PAS segera memperjelaskan isu bai'ah talaq tiga ini. Dan saya berharap tidak muncul sindrom malaikat bisu dikalangan mereka dalam menangani kemelut ini. Biarlah kita berani menyatakan yang hak walaupun pahit. Lebih baik diperbetulkan segera kemungkaran ini dan berharap mendapat keampunan dan keredhoan ALLAH.

Saya juga menyeru Dewan Muslimat PAS menyatakan pendirian mereka dengan jelas dalam isu ini. Saya berharap Dewan Muslimat akan mengambil langkah yang tegas dan berani untuk mempertahankan hak para isteri dan wanita Islam.

Saya juga meminta Majlis Fatwa Kebangsaan supaya segera bermuzakarah dan membincangkan isu ini,

-apakah bai'ah saperti ini dibenarkan syara'?

-jika ia, apakah sandaran atau nas yang membenarkannya?

-jika tidak, apakah kesan bai'ah ini berkuatkuasa saperti satu ta'liq kepada perkahwninan mereka yang berbai'ah tersebut?

-bolehkah pembai'ah tersebut terikat dengan bai'ah saperti ini dan perlu mematuhinya?

-adakah cara untuk membatalkan sumpah bai'ah saperti ini? Jika ada, bagaimanakah caranya?

-apakah mereka yang membatalkan sumpah bai'ah ini perlu membayar kaffarah sumpah?

Saya juga mendesak supaya kepimpinan PAS segera membatalkan dasar bai'ah talaq tiga ini. Saya khuatir jika kepimpinan PAS lambat bertindak, sokongan rakyat kepada PAS khususnya dan kepada Pakatan Rakyat umumnya akan hilang. Kita perlu ingat pengundi wanita adalah majoriti dalam negara ini. Jangan sampai kita dibakulsampahkan oleh kaum wanita yang mutakhir ini meletakkan harapan kepada kita kita untuk membawa perubahan, bukan memutar jam kembali ke zaman jahiliah.

Saya juga mengambil kesempatan ini mengumumkan bahawa saya mengambil pendirian bermufaraqah dan memisahkan diri daripada dasar ini.

Sebagai seorang Ahli Parlimen dan diletakkan dalam kedudukan amanah kepimpinan ini, saya akan dipertanggungjawabkan dihadapan ALLAH kelak jika saya mengambil sikap berdiam diri dan kelihatan bersekongkol dengan dasar ini. Sebab itu saya mengambil pendirian menyatakan sikap saya secara terbuka, kerana isu ini sudah menjadi isu umum. Saya tahu saya akan dihentam dan dicemuh oleh segelintir mereka yang taksub dan fanatik dan tidak berfikir menggunakan aqal; namun saya lebih takut dengan celaan dan cemuhan ALLAH.

Allahumma ya ALLAH, persaksikanlah aku telah menyatakan perkara yang haq ini, dan aku cuba memperbetulkan kemungkaran ini mengikut keupayaan dan kedudukan yang telah Engkau berikan kepadaku. Kau berilah keampunan kepada ku, dan ma'afkanlah dan perbetulkanlah kesilapan dan kelemahanku. Berikanlah aku kekuatan iman dan taqwa dalam usaha ku untuk menyeru kepada yang ma'ruf, dan mencegah kemungkaran ini. Aku tahu aku adalah hambaMu yang paling lemah, dhoif, penuh dengan kesilapan dan kesalahan, namun aku ingin mendapat keredhoan dan maghfirahMu ya ALLAH. Ampunkanlah aku hambaMu yang lemah lagi penuh dengan dosa ini ya ALLAH. Dari Engkau kami datang, dan kepada Engkau kami akan kembali. Kabulkanlah ya ALLAH.

Amin ya robbal 'alamin.

Wassalam.


Zulkifli Bin Noordin

Sabtu
17 Zulqaedah 1430

07 Nov 2009


Dipetik dari Blog Zulkifli Nordin

Wednesday, October 21, 2009

HUKUMAN SEBAT – KAEDAH SYARIAH VS KAEDAH SIVIL

Berita yang menjadi isu;

Kartika Sari Dewi Shukarnor,32, didenda RM5,000 dan enam sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lepas kerana meminum arak di pusat hiburan di Cherating, pada 11 Julai tahun lepas.

Namun pada 24 Ogos lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan Datuk Abdul Rahman Yunus mengarahkan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) supaya menangguhkan hukuman sebat ke atas Kartika sempena menghormati kemuliaan Ramadan.

Kartika, 32, sepatutnya dibawa ke Penjara Wanita Kajang, Selangor bagi menjalani hukuman sebat kerana meminum arak tetapi ditangguhkan pada saat-saat akhir dengan alasan perintah tahanan terhadapnya tidak dapat dilaksanakan ketika ini.

Sehubungan dengan itu tuan guru perturunkan perbezaan utama kaedah Syariah dan kaedah Sivil dalam melaksanakan hukuman sebatan sebagai infomasi .

Sebatan mengikut kaedah Syariah

1- Sebatan boleh dilakukan sama ada kepada pesalah lelaki mahupun perempuan.

2- Alat sebatan yang digunakan hendaklah diperbuat dari rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebal tidak melebihi 1.25 sentimeter.

3- Pesalah hendaklah memakai pakaian menurut hukum syarak tetapi sedikit nipis dari pakaian biasa.

4- Pesalah lelaki disebat berdiri manakala prempuan dalam keadaan duduk.

5- Jika pesalah itu hamil, hukuman itu hendakalah dilaksanakan selepas dua bulan dia melahirkan anaknya.

6- Sebatan hendaklah dijalankan dengan kekuatan 'sederhana' di mana tukang sebat tidak boleh mengangkat tangannya melebihi kepalanya supaya tidak mencederakan pesalah.

7- Sebatan boleh dilakukan di mana-mana bahagian tubuh kecuali muka, kepala,perut, dada atau bahagian sulit.

8- Maksimum sebatan untuk pesalah adalah enam kali rotan sahaja.

Sebatan mengikut kaedah Sivil

1- Sebatan hanya dilakukan kepada pesalah lelaki sahaja.

2- Rotan yang digunakan terdiri daripada pelbagai saiz namun kebiasaanya diameter rotan tidak melebihi 1.25 sentimeter.

3- Pesalah akan ditanggalkan pakaiannya dan digantikan dengan pakaian cawat yang hanya menutupi bahagian kemaluan depan sahaja.

4- Sebatan hanya dilakukan di bahagian daging punggung.

5- Pesalah akan disandarkan berdepan pada tempat khas dan diikat kedua kaki dan tangan.

6- Sebatan dilakukan pada satu tempat yang sama tanpa henti sehingga habis jumlah sebatan.

7- Jumlah sebatan bergantung kepada keputusan mahkamah dan tiada had maksimum.

Dipetik dari Harakahdaily - Jumaat 16 Oktober 2009 | 26 Shawwal 1430 Hijrah

Saturday, September 19, 2009

Pendet dan pendek akal

Oleh: BADRUL HISHAM ABDUL AZIZ

Seorang pemandu teksi menceritakan perihal penumpangnya yang terdiri daripada tiga orang dari Belanda, Amerika dan Indonesia. Penumpang pertama menghisap rokok dan selepas dua kali sedut beliau terus membuang rokok berkenaan dan sipemandu teksi bertanya kenapa begitu.

Kata penumpang berkenaan, negaranya mengeluarkan banyak rokok dan harganya tidak mahal, maka boleh ’enjoy’ menghisapnya. Pemandu teksi terpegun.

Penumpang kedua pula membuang buah epal yang dijamahnya dengan sekali gigit sahaja dan pemandu teksi bertanya pula kenapa membazir. Kata si Mat salleh itu, di negaranya, epal bersepah-sepah dan memang begitulah caranya mereka memakan epal. Angin satu badan sipemandu teksi mendengar jawapannya.

Belumpun sempat penumpang ketiga menunjukkan sebarang aksinya, pemandu teksi membuka pintu di sebelah penumpang dan lantas menerajangnya keluar. Kedua-dua penumpang dari Belanda dan Amerika itu terkejut dan tergamam lalu bertanya kenapa pula pemandu menolak penumpang dari Indonesia itu.

Jawab sipemandu: “Di Malaysia, ada banyak pendatang seperti dia. Bukan semua yang kami perlukan.”

Demikianlah gambaran betapa ramainya rakyat Indonesia yang berada di Malaysia atas nama sesuap nasi. Begitu juga betapa mudahnya rakyat negara ini boleh membuat angkara terhadap rakyat asing jika itu yang mereka mahukan.

Oleh yang demikian, adalah sesuatu yang amat silap dan salah bagi segelintir rakyat Indonesia di Jakarta untuk menjadi ‘polis antarabangsa’ yang hanya bersenjatakan buluh runcing untuk mengusir rakyat Malaysia di Jakarta melalui proses ‘sweeping Malaysian’

Siapakah mereka yang mengadakan sekatan jalanraya dan meminta kad pengenalan diri (kartu) pengguna jalanraya yang disekat? Walaupun bilangan mereka yang terlibat kelihatan kecil, tetapi kesannya amat besar terhadap hubungan dua hala kedua-dua buah negara serumpun Malaysia-Indonesia.

Peristiwa pahit itu mendorong Jakarta memohon maaf daripada Kuala Lumpur dan Presiden Bambang Susilo dilaporkan akan menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tujuan yang sama.

Rakyat Indonesia harus bertindak lebih rasional kerana hanya gara-gara memprotes tarian Pendet dalam iklan Discovery Channel, hubungan dua negara mahu dikorbankan. Rakyat Malaysia sendiri tidak banyak yang arif mengenai tarian Bali itu yang kemudiannya dituduh telah diciplak oleh Malaysia. Malaysia sendiri tidak pernah mendakwa Pendet sebagai tarian negara, tetapi masalah timbul kerana kesilapan syarikat di Singapura yang mengendalikan iklan berkenaan.

Pihak yang mengambil tindakan sendiri di Jakarta itu harus kembali berfikiran tenang dan waras - jangan hanya kerana tarian, kedamaian negara yang hendak dikorbankan. Sesungguhnya, adalah amat mengaibkan bagi Indonesia sebagai negara besar dan banyak penduduknya terpaksa meminta maaf kepada Malaysia yang kecil dan mencapai kemerdekan 10 tahun terkemudian daripada Indonesia.

Pendemonstrasi di Jakarta juga harus memikirkan rakan-rakan dan saudara mara mereka yang jumlahnya menjangkau angka jutaan yang sedang mencari sesuap nasi di Malaysia, khususnya di Lembah Klang. Banyak yang datang secara sah, tetapi banyak lagi yang datang secara haram. Namun, mereka tetap lebih bahagia di sini kerana bebas mencari rezeki demi anak dan keluarga yang ditinggalkan di seluruh pelosok Indonesia.

Mereka tidak hanya bebas berniaga dan bekerja di Malaysia, tetapi juga mendapat layanan dan pembelaan yang sewajarnya. Ini termasuklah peluang pendidikan dan perubatan yang melibatkan perbelajaan yang cukup tinggi. Ini tidak termasuk lagi jumlah belanja yang amat besar dikeluarkan untuk tujuan penguatkuasaan.

Malah, ada sebahagian kegiataan mereka seperti berniaga yang telah ‘merompak’ peluang peniaga tempatan, tetapi mereka tidak pula diusir sewenang-wenangnya. Dahulu, pihak berkuasa Malaysia pernah menjalankan operasi pemutihan iaitu Ops Bersih.

Di bawah operasi ini, mereka yang datang secara gelap dibenarkan pulang secara sah. Mereka juga boleh kembali ke negara ini secara sah. Yang mempunyai dokumen sah, dibenarkan terus menetap di sini.

Di samping, mereka yang telah menetap lama di Malaysia dan diberikan kad pengenalan merah dibenarkan terus menjadi pemastautin tetap dan layak pula untuk ditimbangkan menjadi warganegara Malaysia yang sah.

Rakyat Indonesia di Malaysia tidak setuju langsung dengan pendekatan ‘Sweeping Malaysian’ yang dilaksanakan di Jakarta.

Secara rasminya ada kira-kira 1.8 juta rakyat Indonesia yang mencari rezeki dan ilmu di negara ini. Mereka telah melihat dan menyaksikan betapa hebatnya pertalian anak Malaysia membantu meringankan beban saudara serumpun setiap kali mereka di Indonesia dirundung malang.

Peristiwa menyayat dan meruntun hati Tsunami besar yang melanda Acheh lima tahun lalu tentu menjadi ingatan pada semua. Orang Aceh yang ditimpa dugaan Allah itu pasti akan mengingati peristiwa itu sampai ke akhir hayat dan sejarahnya akan dikenang oleh anak beberapa generasi mereka kelak.

Rakyat Malaysia tidak sekadar menyatakan simpati dan menghulur wang ringgit serta pakaian. Sebaliknya para sukarelawan yang prihatin berkunjung ke sana membawa ubat-ubatan, tenaga kerja kesihatan, pembangunan dan pembinaan semula mental dan emosi serta pelajaran di samping kepakaran membangunkan semula bandar besar itu.

Begitu juga dengan Tabung Gempa Nusantara yang diisi oleh rakyat Malaysia bagi membantu mangsa gempa bumi anjuran Kumpulan Utusan Melayu dan Maybank untuk meringankan bebanan para mangsa di negara berkenaan.

Bagi rakyat Indonesia yang normal, tentu tahu menilai pengorbanan dan mengerti erti keprihatinan serta salam perpaduan yang dihulurkan oleh warga Malaysia. Mereka juga pasti terasa serbasalah, malu dan kesal terhadap apa yang berlaku di Jakarta.

Apa sangatlah hendak diperjuangkan mengenai tarian Pendet sehingga ada pihak yang sanggup merosakkan hubungan mesra sedia ada serta membuka peluang rakyat Indonesia di negara ini terdedah kepada pelbagai kemungkinan masalah, tanggapan dan tindakan negatif serta menjejajskan peluang untuk terus mencari rezeki dan ilmu di negara ini.

Mereka pasti terasa dan terfikirkan, apa akan jadi sekiranya Malaysia juga melaksanakan ‘Ops Nyah''’ secara besar-besaran bagi menghantar pulang pendatang asing yang tidak diundang itu. Buat masa ini, Malaysia, seperti dinyatakan oleh Kementerian Dalam Negeri tidak bermaksud untuk menghukum para pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk dari Indonesia,

Sebaliknya, mereka yang kini bertaburan di seluruh negara diminta berdaftar dengan Jabatan Imigresen bagi memudahkan proses penghantaran pulang.

Jadi, bagi rakyat Indonesia, yang pastinya daif mengenai aspek hubungan dua hala dan kerjasama serantau wajib menilai kepentingan pendet dan kepentingan jutaan saudara-mara dan rakan taulan mereka yang memerah keringat di negara ini bagi sesuap nasi atau membina mahligai apabila pulang ke negara mereka kelak.

Janganlah gara-gara tarian pendet, ada pihak yang pendek akalnya dan janganlah demi tarian dan kebudayaan, kelangsungan hidup serantau hendak dijudi dan dipertaruhkan.. Sebijak-bijak orang Kerinci, ada pihak berpendapat, orang kurang inci lebih bijak lagi…!-14/9/2009

Agenda Daily (14 September 2009)




Sunday, August 23, 2009

Kesabaran orang Melayu kian menipis

Ruhanie Ahmad

Gelagat sesetengah ahli politik alternatif tertentu kebelakangan ini cukup melampau. Institusi Raja-Raja Melayu dipolemikkan secara kurang ajar. Soal-soal pribumi dipertikaikan secara provokatif. Orang Melayu yang bersuara untuk mempertahankan hak-hak bangsanya dilabelkan sebagai rasis. Pihak-pihak yang membakar kemarahan orang Melayu mendabik dada dan menganggap dirinya sebagai pejuang kesaksamaan dan kesamarataan. Ironinya, ada juga segelintir pemimpin politik Melayu dan umat Melayu tertentu yang turut menyokong seluruh tindakan anti-Melayu ini kononnya atas dasar liberalisme dan pragmatisme.

Sebagai individu yang didewasakan di era penjajah dan kemudiannya menceburi alam kerjaya---profesional dan politik---di era merdeka, saya amat terganggu dengan perkembangan mutakhir ini yang bertitik tolak daripada apa yang didakwa sebagai era keterbukaan yang dilakukan sejak 2004.

Tetapi, ini tidak bererti saya menentang keterbukaan. Apa yang saya kesali hanyalah keterbukaan yang dilakukan semata-mata untuk menutup sesuatu kelemahan pimpinan tertentu, keterbukaan yang tidak secocok dengan tuntutan keselamatan negara, keterbukaan yang memberikan muka kepada pertubuhan haram tertentu walaupun ianya telah mengheret negara ini ke arena antarabangsa dengan tuduhan kononnya Perlembagaan Persekutuan adalah menindas sesetengah kaum, keterbukaan yang double-standard di mana anak-anak muda di Terengganu diburu ”ibarat sampai ke lubang cacing” kononnya atas jenayah membakar Jalur Gemilang sementara penunjuk perasaan di sebuah ladang babi di Melaka yang menginjak-injak Jalur Gemilang di hadapan sekumpulan pegawai pemerintah dibiarkan bebas tanpa hukuman, keterbukaan yang mengizinkan peguam pemerhati untuk mengujjah perbicaraan kes murtad, keterbukaan yang menghalalkan hukuman selektif ke atas individu tertentu yang terbukti terbabit dengan rasuah politik, keterbukaan di mana individu yang terbukti rasuah masih dikekalkan dengan tanggungjawab memimpin negeri dan rakyat, keterbukaan di mana soal kronisme dilindungi dan kebenaran disanggah secara habis-habisan walaupun tindakan itu telah melunturkan keyakinan segolongan rakyat terhadap pemerintah.

Keterbukaan ini sedang menjadi senjata yang makan tuan. Mangsanya adalah orang Melayu dan umat Islam. Sebilangan orang Melayu di sebuah negeri tertentu dikatakan sedang beramai-ramai meninggalkan parti politik mereka untuk mendampingi sebuah parti yang baru. Hak-hak Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan dipertikaikan. Kerajaan dituduh sebagai pendukung dasar apartheid. Bumiputera dipanggil babiputra. Hak orang Melayu menerima biasiswa yang dilindungi oleh perlembagaan diasak dan didesak atas prinsip meritokrasi. Urusan pentadbiran Islam di sebuah negeri tertentu diganggu-gugat oleh sesetengah pihak bukan Islam. Tulisan Cina dan Tamil cuba dimasyarakatkan menerusi papan tanda jalan (walaupun gagal untuk dilaksanakan, percubaannya cukup simbolik untuk membuktikan niatnya!).

Pada waktu yang sama, undang-undang preventif seperti ISA diperjuangkan secara bermati-matian supaya dimansuhkan. Pihak yang mempertahankannya walaupun dengan beberapa cadangan untuk pindaan yang wajar, dituduh sebagai kuno dan anti hak asasi kemanusiaan sejagat. Pihak yang cuba menansuhkan ISA atas alasan yang cetek dan tanpa memahami rasional penting undang-undang ini pula disokong dan dilonjakkan sebagai wira.

Ke mana akhirnya Malaysia, orang Melayu, umat Islam dan bumiputra jika perkembangan mutakhir seperti ini terus berlarutan? Jika Lee Kuan Yew yang mempertikaikan seluruh hak Melayu, Agama Islam, Bahasa Melayu dan Raja-Raja Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan pada 1964, kita faham mengapa beliau bertindak sedemikian. Beliau memperjuangkan Konsep Malaysian Malaysia dan tergamak mengguris hati dan jiwa orang Melayu pada ketika itu atas desakan elemen-elemen komunis yang menganggotai PAP. Tetapi, apakah rasional terkini yang menyebabkan elemen-elemen Malaysian Malaysia kembali menggugat orang Melayu pada hari ini? Adakah ini bermakna bahawa sesetengah parti politik tertentu di negara ini sedang melalui renaissance anti-Melayu kerana kerajaan yang memberikan keterbukaan mulai 2004 kini dianggap lemah dan boleh diugut serta digugat secara berterusan?

Jika tidak begitu hakikatnya, mengapakah kini wujud kebimbangan di kalangan sesetengah pihak orang Melayu bahawa negara ini mungkin akan menghadapi satu lagi tragedi kaum tidak lama lagi? Saya persoalkan kemungkinan ini bukan untuk menghasut. Tetapi, apabila ada pihak sudah tergamak untuk menulis---biarpun secara bertopeng dan menerusi blog clandestine---bahawa bumiputra adalah babiputra, bila secara terang-terangan hak-hak bumiputra dan Melayu dipertikaikan pada setiap masa, tidak mungkinkah ada golongan bumiputra yang akan menerima provokasi ini menerusi manifestasi keganasan? Dan, jika Raja-Raja Melayu pun sudah mengulangi semula wasiat keramat yang menunjangi kemerdekaan tanah air ini pada 1957 supaya wasiat itu difahami dan dihayati oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, salahkan untuk sesiapa yang prihatin untuk mentafsir bahawa keadaan etnisiti di negara ini memang sedang menuju suatu musibah yang serius?

Inilah cabaran terbesar di Malaysia pada hari ini. Di samping masalah perut rakyat yang sentiasa digugat oleh konstrain ekonomi, di samping retorika pemerintah yang masih belum menyelesaikan soal perut dan sandang-pangan rakyat dengan sepenuhnya, di samping perasaan sesetengah orang Melayu yang kini sedang diancam keterbukaan songsang mulai 2004, inilah cabaran yang mesti diakui sebagai ancaman utama dalam tempoh terdekat ini.

Lantas, apakah objek rujukan untuk menangani perkembangan seperti ini? Apakah nilai-nilai teras yang mesti dipertahankan di sini? Bagaimanakah kerajaan selaku securitizing authority kepada keselamatan negara akan bertindak dalam situasi seperti ini? Dan, apa pula pendekatan terbaik dan berkesan untuk menghapuskan fenomena ini? KEPADA ALLAH BESERAH!

kudakepang